KUALA LUMPUR: Dua kadet Malaysia telah dipilih untuk menyertai akademi ketenteraan utama Amerika Syarikat (AS), mencerminkan hubungan kerjasama pertahanan dan keselamatan jangka panjang antara Malaysia dan AS.

Mereka ialah Kadet Rakis Ruhaim Abdul Rahman, 22, yang akan menyertai Akademi Tentera Laut AS di Annapolis, Maryland, dan Kadet Luthfil Haikal Haswadi, 20, yang akan melanjutkan pengajian di Akademi Tentera AS di West Point, New York.

Kedua-dua kadet itu dipilih secara rasmi sebagai anggota Kelas 2029 pada satu majlis penghantaran anjuran Kedutaan AS di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Bercakap kepada media selepas majlis itu, Duta AS ke Malaysia Edgard D. Kagan berkata pemilihan mereka mencerminkan bakat luar biasa yang dimiliki rakyat Malaysia.

Beliau menyifatkan kedua-dua kadet sebagai individu yang mengagumkan, bijak, petah dan berkeyakinan.

“Proses pemilihan ini amat mencabar dan kompetitif di peringkat global, menjadikan pencapaian mereka lebih luar biasa,” katanya.

Kagan berkata hanya kira-kira 15 pelajar antarabangsa diterima masuk setiap tahun ke setiap akademi perkhidmatan AS.

Menurutnya, meskipun pelajar antarabangsa hanya mewakili satu peratus daripada keseluruhan pelajar di akademi itu, mereka menjadi saluran kepimpinan penting, khususnya di Asia Tenggara.

“Angkatan Tentera Malaysia mempunyai rekod cemerlang menghantar kadet ke AS.

Sepuluh peratus pemimpin ASEAN adalah graduan akademi ketenteraan AS, termasuk Perdana Menteri Kemboja Hun Manet. Ini menunjukkan nilai jangka panjang pertukaran ini,” kata beliau.

Sementara itu, Rakis Ruhaim berkata pemergian bapanya pada 2017 menjadi pendorong kepada keputusan beliau untuk menyertai bidang tentera.

Sebagai anak sulung dan satu-satunya anak lelaki daripada tiga beradik, beliau merasakan tanggungjawab besar untuk memimpin dan menyara keluarga, dan melihat kerjaya tentera sebagai jalan untuk membentuk disiplin diri serta persediaan memikul peranan itu.

Beliau mula menyertai Kolej Tentera Diraja (RMC) di Sungai Besi pada 2019 ketika berusia 16 tahun, sebelum dipilih mengikuti program Kadet Tentera Laut di Jerman selama dua tahun.

Sekembalinya ke Malaysia, Rakis meneruskan latihan di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) sebelum diterima masuk ke Akademi Tentera Laut AS.

Kadet Luthfil Haikal, lulusan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang, Kedah, berkata beliau sememangnya bercita-cita menyertai angkatan tentera dan berkhidmat untuk negara.

“Saya yang pertama dalam keluarga menyertai tentera. Sejak kecil, saya amat tertarik dengan kisah pertahanan, peperangan, wira negara dan panglima legenda.

“Walaupun datang daripada latar belakang akademik, saya tidak menganggap itu halangan. Saya percaya belia masa kini, khususnya pelajar, boleh mengikuti laluan ketenteraan tanpa mengira permulaan mereka,” katanya kepada media.

Luthfil berkata beliau turut menerima beberapa tawaran lain termasuk dari Jepun, namun memilih untuk menolak demi mencapai impian menyertai West Point.

Majlis itu turut dihadiri Penolong Ketua Staf Perkhidmatan Anggota Angkatan Tentera Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Reizal Arif Ismail, pegawai kanan tentera dan ahli keluarga kadet.

Duta AS itu turut memberikan penghormatan kepada Pegawai Kadet Malaysia Mohamad Khairel Adha Mohd Khairee yang baru-baru ini menamatkan pengajian daripada Akademi Tentera Udara AS.