GOMBAK: Dua koperasi sekolah berjaya menjana perolehan melebihi RM2 juta, manakala 42 lagi merekodkan perolehan lebih RM1 juta untuk akaun 2024.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata perolehan itu dicapai menerusi sektor peruncitan yang menjadi satu perniagaan berimpak tinggi dan mampu membawa keuntungan besar.

“Pencapaian ini membuktikan koperasi sekolah mampu menjadi platform keusahawanan dan perniagaan yang serius, sekali gus tunjang kepada terbentuknya usahawan koperasi yang berjaya pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas Majlis Anugerah Pengiktirafan Perolehan RM1 Juta Koperasi Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melewati di sini hari ini.

Abdul Fattah yang juga Presiden Kesatuan Koperasi ASEAN berkata dua koperasi sekolah yang mencatatkan perolehan lebih RM2 juta ialah Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Vokasional Tanah Merah Berhad di Kelantan dan Koperasi SMK Kota Kemuning, Shah Alam Berhad di Selangor.

Tiga negeri teratas yang merekodkan pencapaian koperasi sekolah dengan perolehan melebihi RM1 juta ialah Selangor iaitu sebanyak 11 koperasi diikuti Perak (5) dan Johor (4).

Sementara itu, Abdul Fattah berkata pihaknya yakin sasaran perolehan gerakan koperasi sebanyak RM73 bilion pada 2030 seperti ditetapkan Dasar Koperasi Malaysia (DaKom) 2030 mampu dicapai tahun ini.

Beliau berkata setakat ini gerakan koperasi di negara ini telah mencatatkan perolehan sebanyak RM68.2 bilion.

“Setiap tahun berlaku pertambahan (perolehan) sebanyak RM5 bilion. Insya-Allah... sasaran RM73 bilion mampu dicapai lebih awal daripada sasaran,” ujarnya.