GEORGE TOWN: Dua lagi doktor direman empat hari bagi membantu siasatan berkenaan dokumen tuntutan faedah hilang upaya kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang dipercayai mengandungi butir matan palsu.

Selain dua pegawai perubatan kanan di hospital kerajaan yang masing-masing berumur 43 dan 50 itu, turut direman bermula hari ini ialah seorang ejen berumur 32 tahun yang disyaki terlibat sama dalam kes berkenaan.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketiga-tiga mereka direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai butiran palsu mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu mereka dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada 8.54 pagi dengan memakai pakaian lokap SPRM dan diiringi pegawai suruhanjaya berkenaan.

Difahamkan ketiga-tiga suspek ditahan susulan operasi khas yang dijalankan dengan kerjasama SPRM Pulau Pinang dan Perkeso, semalam.

Semalam 33 individu yang terdiri daripada tiga doktor, 19 pencarum Perkeso, lapan ejen dan tiga ‘runner’ berusia lingkungan 26 hingga 60 tahun direman bagi membantu siasatan kes yang sama, sekali gus menjadikan secara keseluruhan seramai 36 individu direman di negeri ini berhubung kes pemalsuan dokumen tuntutan Perkeso tersebut.

Menurut sumber, SPRM turut menyita wang tunai, barang kemas, dua buah beg berjenama, kenderaan mewah, nombor plat kenderaan mewah, 33 buah telefon bimbit dan barangan mewah yang jumlah kesuluruhannya bernilai kira-kira RM500,000 Selasa lepas.

Siasatan awal turut mendapati nilai wang rasuah yang terlibat dalam kegiatan ini berjumlah kira-kira RM2 juta.

Siri serbuan oleh SPRM itu adalah susulan kepada pendedahan oleh Ahli Dewan Negara Dr R.A Lingeshwaran Julai lepas yang menggesa Kementerian Sumber Manusia menjelaskan dakwaan beberapa doktor yang mengendalikan tuntutan hilang upaya Perkeso telah digantung, selepas dikaitkan dengan dakwaan memalsukan permohonan terbabit.

Lingeshwaran yang juga bekas Pengarah Hospital Sungai Bakap memaklumkan Dewan Negara bahawa mereka digantung selepas Perkeso mendapat tahu mengenai kegiatan itu di sebuah hospital di Pulau Pinang