GEORGE TOWN: Dua lelaki termasuk seorang warga emas mengalami kerugian RM2.35 juta selepas masing-masing menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan dalam talian, pada kejadian berasingan di Pulau Pinang baru-baru ini.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata dalam kes pertama, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) menerima aduan daripada seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun yang merupakan ejen insurans di Perai semalam, selepas mengalami kerugian hampir RM1.5 juta.
“Menurut lelaki itu, dia telah melihat iklan pelaburan saham yang menjanjikan pulangan keuntungan tinggi menerusi aplikasi Facebook pada Disember tahun lepas dan mangsa kemudian berhubung dengan suspek wanita melalui aplikasi WhatsApp.
“Pelaburan itu menawarkan pelbagai pakej dengan janji pulangan yang lumayan dan mangsa berminat menyertainya, sebelum memuat turun aplikasi pelaburan saham terbabit pada 30 Dis serta membuat pemindahan pertama sebanyak RM9,999 dan memperoleh keuntungan RM18,400,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata yakin dengan pelaburan itu, mangsa telah membuat pemindahan wang sebanyak 35 transaksi antara 17 Feb hingga 24 April ke dalam tujuh akaun bank milik syarikat berbeza membabitkan jumlah RM1,495,176.
Hamzah berkata lelaki itu hanya menyedari telah menjadi mangsa penipuan selepas gagal membuat pengeluaran keuntungan dalam aplikasi pelaburan terbabit, malah turut diminta untuk membuat bayaran lagi sebagai syarat tambahan.
Bagi kes kedua, beliau berkata seorang lelaki warga emas berusia 73 tahun yang merupakan pesara akauntan sebuah kilang membuat laporan polis di BSJK IPD Timur Laut semalam selepas turut menjadi mangsa pelaburan dalam talian melibatkan kerugian RM855,001.
“Menurut mangsa, pada Mac lepas dia telah melihat iklan pelaburan wang kripto yang menawarkan pulangan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat di Facebook dan warga emas terbabit telah menekan pautan iklan sebelum berhubung dengan suspek wanita menerusi aplikasi WhatsApp,“ katanya.
Hamzah berkata mangsa menyertainya dan memuat turun aplikasi pelaburan itu sebelum membuat 14 transaksi ke lima akaun bank milik syarikat berbeza bermula pada 15 April hingga 11 Jun, namun tidak menerima sebarang keuntungan.
Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan rangkaian sindiket penipuan itu dan kedua-kedua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, iaitu tipu.