MELAKA: Dua lelaki warga tempatan ditahan kerana menyimpan gas petroleum cecair (LPG) dan minyak diesel tanpa permit atau lesen sah bernilai RM48,197.82, dalam dua operasi berasingan di sekitar negeri itu pada Selasa dan Rabu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka Dr Mohd Hazimin Jamaludin berkata dalam Op Gasak yang dilakukan pada Rabu, sebanyak 17 tong LPG bermuatan 14 kilogram (kg) setiap satu bernilai keseluruhan RM2,149.82, dirampas di sebuah premis di Klebang Besar di sini.
“Pemilik premis berusia 30-an ditahan bagi membantu siasatan, kerana gagal mengemukakan permit atau lesen menyimpan barang kawalan LPG di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Dalam Op Tiris yang dijalankan semalam pula, sebanyak 13,040 liter cecair disyaki minyak diesel bernilai RM46,048, dirampas di sebuah premis di Alor Gajah kerana pemilik premis berusia lewat 50-an turut gagal mengemukakan permit atau lesen menyimpan barang kawalan berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata pemilik premis berkenaan turut ditahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi membantu siasatan lanjut dan kedua-dua kes terbabit berjaya dikesan hasil aduan awam dan risikan KPDN Melaka.
Dalam perkembangan lain, Mohd Hazimin berkata sebanyak 157 kes melibatkan pelbagai kesalahan di bawah akta kepenggunaan dengan denda berjumlah RM101,000, direkodkan dalam tempoh 1 Jan hingga semalam.
Beliau berkata dalam tempoh itu juga, pelbagai barangan serta produk makanan bernilai RM143,325.20 dirampas dan kompaun berjumlah RM44,100 dikeluarkan kepada peniaga yang dikesan melanggar peraturan dan akta ditetapkan.
“Sebanyak enam tangkapan dilakukan melibatkan tujuh individu berusia lingkungan 30 hingga 50-an bagi membantu siasatan lanjut terhadap kes yang berjaya dihasilkan.
“Justeru, KPDN memberi amaran dan mengingatkan kepada semua peniaga agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan kerajaan, kerana pegawai penguat kuasa sentiasa melakukan pemantauan dan operasi bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang dilakukan,” katanya.
Mohd Hazimin berkata pengguna juga diminta menjadi mata dan telinga KPDN, dalam melaporkan salah laku berkaitan aktiviti perdagangan dan juga isu kepenggunaan.