SHAH ALAM: Dua lelaki termasuk seorang warga emas melecur dalam kejadian kebakaran melibatkan dua rumah di Kampung Delek Baru, Klang dekat sini hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata lelaki berumur lingkungan 70-an yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) itu melecur sebanyak 20 peratus pada bahagian tangan kiri, manakala seorang lagi mangsa berusia sekitar 30-an melecur pada bahagian kaki.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 7.54 pagi dan menggerakkan 22 anggota berserta tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu tangki air dan dua unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi kejadian bagi mengawal kebakaran.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian didapati berlaku kebakaran melibatkan dua rumah kelas B jenis sesebuah berkeluasan 600 kaki persegi setiap unit.

“Rumah pertama terbakar 70 peratus, manakala rumah kedua terbakar 40 peratus dan kerja-kerja pemadaman telah selesai dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ahmad Mukhlis berkata kedua-dua mangsa telah diberikan rawatan awal oleh anggota EMRS sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk rawatan lanjut.