AYER HITAM: Dua lelaki maut manakala 16 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran dan dua lori di Kilometer 80.7 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah Selatan, Ayer Hitam, tengah malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Shamin Mohamed Salikin, mengesahkan kedua-dua mangsa maut ialah warga Indonesia berusia 43 dan 44 tahun. Mereka meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit.
Pasukan bomba menerima panggilan kecemasan pada 12.44 tengah malam. Satu jentera ‘Fire Rescue Tender’ dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan tujuh anggota dari BBP Ayer Hitam dan Yong Peng dikerahkan ke lokasi.
“Kemalangan melibatkan bas persiaran, lori ‘tow truck’, dan lori tangki. Dua penumpang bas tersepit dan disahkan maut di tempat kejadian. Sebanyak 16 lagi cedera termasuk pemandu bas, manakala 28 penumpang lain selamat,“ jelas Mohamad Shamin dalam kenyataan rasmi.
Mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut. Operasi penyelamatan berakhir sepenuhnya pada 3.03 pagi.