KUALA LUMPUR: Dua lelaki warga tempatan maut ditembak sekumpulan lelaki memakai topeng ski hitam di hadapan sebuah kedai serbaneka di Jalan Loke Yew, Cheras di sini, tengah malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata pihaknya dimaklumkan kejadian itu pada 12.48 tengah malam, dan dua mangsa berusia dalam lingkungan 40-an maut di tempat kejadian.

“Setakat ini polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti suspek serta motif kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Usuf berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai mempunyai maklumat diminta menghubungi Polis Cheras menerusi talian 03-92845050 / 5051 atau Polis Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau hadir di balai polis berdekatan.

Terdahulu, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 21 saat memaparkan sekumpulan individu melepaskan tembakan ke arah mangsa sebelum melarikan diri.