SIBU: Dua orang maut manakala sembilan lagi cedera dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah van dan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Lebuhraya Pan Borneo berhampiran Klinik Skrang, Betong.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak memaklumkan bahawa kedua-dua mangsa yang meninggal dunia merupakan lelaki dewasa dan antara lapan penumpang van tersebut.
Enam lagi penumpang van mengalami kejadian parah manakala tiga mangsa menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Land Cruiser turut cedera.
Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Betong digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 11.59 pagi.
Lokasi kejadian terletak kira-kira 23 kilometer dari balai bomba dan pasukan tiba pada pukul 12.22 tengah hari.
Dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia.
Enam mangsa yang cedera parah dibawa ke Hospital Betong untuk menerima rawatan.
Pihak polis masih dalam proses mengenal pasti mangsa yang terlibat dan punca kemalangan berlaku. – Bernama