• 2025-09-26 06:48 PM

SEPANG: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka berinteraksi dan memberikan kata-kata semangat kepada 34 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla ke Gaza pada Ahad ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata Perdana Menteri akan mendapatkan perkembangan misi itu ketika hadir ke Sumud Nusantara Command Centre di Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia Central Warehouse di sini.

Beliau berkata kehadiran Perdana Menteri bakal menaikkan moral bukan sahaja kepada sukarelawan Malaysia, tetapi juga kepada semua yang menyertai GSF dari pelbagai negara.

“Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir memberikan sokongan, manakala hari ini saya sendiri turut menyampaikan kata-kata semangat,” katanya dalam sidang media di SNCC hari ini.

Mohd Na’im menambah bahawa kehadiran orang nombor satu negara ini sudah pasti memberikan dorongan besar kepada 34 sukarelawan Malaysia.

Terdahulu, Mohd Na’im berinteraksi dengan beberapa sukarelawan Malaysia yang menyertai misi berkenaan serta menitipkan doa memohon kelancaran misi GSF.

Seorang peserta GSF, Zizi Kirana dalam sesi interaksi secara dalam talian itu berkata beliau bersemangat menjayakan misi GSF bagi menghantar bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza.

“Alhamdulillah, semua berada dalam keadaan baik dan kami bersemangat untuk teruskan pelayaran,” kata penyanyi terkenal itu.

Zizi Kirana menambah walau apa jua cabaran, beliau harap misi ini dapat diselesaikan, insya-Allah.

Sebanyak 34 rakyat Malaysia menyertai misi GSF yang kini berada di perairan antarabangsa berhampiran Greece dan dijangka memasuki zon kuning pada bila-bila masa sebelum dijadualkan tiba di perairan Gaza pada akhir bulan ini.

Mereka merupakan sebahagian daripada aktivis dari 45 negara yang berlayar ke Gaza bagi memecahkan kepungan terhadap enklaf itu, dan cekal berdepan pelbagai rintangan serta ugutan termasuk serangan dron.

Malaysia menjadi negara pertama yang mengiktiraf misi itu menerusi sokongan Perdana Menteri.

Pelayaran GSF merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan yang menggesa agar peperangan dan krisis kebuluran dihentikan, selain menuntut pembukaan akses koridor kemanusiaan ke Gaza. – Bernama