Your Title

KUALA LUMPUR: Dua lelaki pencipta kandungan merupakan antara enam didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan gaduh gempar ketika satu perlawanan tinju di sebuah restoran, minggu lepas.

Mereka ialah Ammar Mohd Nazhan Noralyadi, 29, Abdul Rahim Abd Hakim, 23, Muhammad Hafizul Haiman, 23, Muhammad Ady Putra Amirul Abdul Rahman, 18, Muhammad Al Mubarak Bahauddin Selamet, 28, dan Jebat Zulfar Nurfakhrullah Abd Ghapar, 24.

Ammar Mohd Nazhan dan Muhammad Hafizul mengaku tidak bersalah, manakala empat yang lain membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Kesemua lelaki itu didakwa melakukan gaduh gempar di sebuah restoran dalam pusat beli-belah di Bukit Bintang di sini, pada 10.15 malam, 25 Feb, mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Hench Goh mencadangkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin terhadap Ammar Mohd Nazhan dan Muhammad Hafizul, selain memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada empat tertuduh lain.

Peguam K. Ramalingam yang mewakili Ammar Mohd Nazhan dan Muhammad Hafizul memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya bekerja sebagai pencipta kandungan hanya berpendapatan RM2,000 sebulan serta perlu menanggung keluarga, manakala empat tertuduh lain yang tidak diwakili peguam memohon hukuman rendah.

Majistret Aina Azahra Arifin kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM500 ke atas empat lelaki yang mengaku bersalah itu dan memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara satu bulan sekiranya gagal membayar denda. Mereka membayar denda itu.

Mahkamah juga membenarkan Ammar Mohd Nazhan dan Muhammad Hafizul diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 15 April.

Pada 1 Mac lepas, media melaporkan polis menahan 11 individu yang disyaki terlibat dalam insiden rusuhan ketika satu perlawanan tinju melibatkan pempengaruh media sosial di sebuah pusat beli-belah, Bukit Bintang, pada 26 Mac.