JASIN: Dua penuntut universiti awam maut selepas kenderaan dinaiki terbabas melanggar besi penghadang jalan di Kilometer 186.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Jasin DSP Ahmad Jamil Radzi berkata dalam insiden kira-kira 6.20 pagi itu, mangsa Nurul Syafiqah Nasruddin dan Nurhanis Afryna Azizan masing-masing berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kedua-dua mangsa merupakan penumpang di bahagian hadapan dan belakang di sebelah kiri kereta jenis Produa Myvi yang dinaiki dua lagi rakan lain termasuk pemandu.
“Dipercayai kemalangan berlaku apabila kereta yang dalam perjalanan dari Johor ke Melaka itu terbabas melanggar besi penghadang jalan namun tidak melibatkan kenderaan lain,“ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Jamil berkata pemandu Nur Hanis Suraya Supiyan, 19, dan seorang lagi penumpang Azwalidiya Azman, 21, mengalami kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.