• 2025-09-21 03:49 PM

JASIN: Kerajaan Melaka membangunkan semula dua projek agropelancongan iaitu Melaka Fruit Farm di Sungai Udang dan ladang ternakan rusa di Sungai Rambai untuk menarik lebih ramai pelancong ke kawasan luar bandar negeri itu.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata Melaka Fruit Farm akan dijadikan sebagai taman karavan yang menampilkan konsep agropelancongan berasaskan aktiviti ladang dan ternakan.

Antara aktiviti yang ditawarkan termasuk tanaman nanas, rock melon dan ternakan ikan sangkar yang membolehkan pelancong menikmati suasana desa serta mengalami sendiri aktiviti menangkap ikan dan pertanian.

Ladang ternakan rusa di Sungai Rambai juga sedang giat dibangunkan semula dan dijangka beroperasi selewat-lewatnya pada Februari tahun depan.

Muhamad Akmal berkata ladang tersebut akan dijadikan “Base Rusa” iaitu pusat tarikan yang membolehkan pengunjung memberikan makanan kepada rusa, melihat proses pembiakan haiwan itu serta menikmati hidangan berasaskan daging rusa.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk mengembangkan sektor pelancongan ke kawasan desa selepas Melaka merekodkan hampir 15 juta kedatangan pelancong tahun lepas yang kebanyakannya tertumpu di kawasan bandar.

Perkembangan pelancongan di kampung akan menjadi industri hiliran yang mampu membangunkan ekonomi setempat dan memberikan manfaat terus kepada penduduk.

Projek-projek berkenaan telah melalui proses tender dan berada dalam peringkat pembangunan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Pertanian negeri. – Bernama