• 2025-10-04 03:51 PM

BUTTERWORTH: Dua individu maut rentung selepas kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan sebelum terbabas dan terbakar di Jalan Permatang Baru Sungai Lokan di sini pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang Mohamad Shoki Hamzah berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 7.09 pagi mengenai kejadian tersebut.

Pasukan bomba kemudian menggerakkan tujuh anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth ke lokasi kejadian.

Kebakaran tersebut melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga BLM dengan anggaran peratusan kebakaran sebanyak 80 peratus.

Kebakaran itu dipercayai berpunca daripada kemalangan jalan raya yang dialami kenderaan terbabit.

Dua mangsa didapati telah rentung di dalam kereta berkenaan ketika kejadian.

Identiti kedua-dua mangsa masih belum dapat dikenal pasti sehingga kini.

Pasukan Keluaran Operasi kemudian menjalankan kerja-kerja ‘overhaul’ bagi memastikan keadaan di lokasi benar-benar selamat.

Petugas perubatan yang berada di lokasi telah mengesahkan kematian kedua-dua mangsa.

Mayat mangsa kemudian dibawa menaiki kenderaan polis ke Hospital Kepala Batas untuk proses bedah siasat.

Operasi bomba tamat sepenuhnya pada pukul 10.55 pagi selepas semua kerja selesai dilaksanakan.

Kes ini kemudiannya diserahkan kepada Pasukan Forensik Kebakaran JBPM untuk siasatan lanjut.

Kejadian tersebut telah tular di media sosial yang memaparkan kereta sedang terbakar di Jalan Pekan Darat ke Sungai Lokan.

Rakaman video yang tersebar menunjukkan sebuah kereta sedang dijilat api dipercayai akibat terbabas. – Bernama