• 2025-10-04 05:24 PM

KOTA KINABALU: Seramai 30 pegawai serta petugas Istana Seri Kinabalu melafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah dalam satu majlis di Dewan Utama istana tersebut.

Majlis ini disaksikan oleh Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Sabah Datuk Fuad Bee Basrah.

Setiausaha Sulit kepada Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah Izarudin Jalaludin mengetuai lafaz ikrar bagi pihak semua warga istana.

Izarudin mengingatkan semua pegawai dan petugas bahawa rasuah boleh berlaku dalam pelbagai bentuk termasuk salah guna kuasa dan penyelewengan.

Beliau menekankan integriti sebagai kunci untuk mengelakkan diri daripada terpalit dengan rasuah.

“Integriti ialah kunci untuk mengelakkan diri daripada terpalit dengan rasuah maka sentiasalah menjadikan integriti sebagai amalan dan pedoman,“ katanya.

Izarudin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada SPRM Sabah atas kerjasama serta komitmen yang diberikan.

Program ini berjaya dilaksanakan dengan kerjasama erat antara istana dan SPRM Sabah. – Bernama