• 2025-10-04 05:20 PM

IPOH: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming telah menyerahkan sumbangan Kasih MADANI berjumlah RM1,486,600 kepada 258 pelajar kaum India daripada keluarga B40 di Parlimen Teluk Intan sempena sambutan Deepavali.

Nga yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata peruntukan itu disalurkan kepada semua pelajar terbabit dari 12 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di kawasan berkenaan.

Beliau berkata sumbangan berkenaan adalah yang tertinggi pernah diberikan di kawasan Teluk Intan dan mencerminkan komitmen kerajaan MADANI memastikan tiada pelajar daripada mana-mana kaum tercicir dalam arus pendidikan akibat kekangan kewangan keluarga.

“Pendidikan ialah teras pembangunan negara dan kerajaan MADANI sentiasa komited serta cakna dalam memastikan semua aliran sekolah, termasuk sekolah Tamil mendapat perhatian serta bantuan sewajarnya.

“Saya percaya dengan adanya sumbangan ini, anak-anak kita khususnya daripada keluarga B40 akan lebih bersemangat mencapai kecemerlangan sekali gus meringankan beban keluarga menjelang perayaan Deepavali yang bakal disambut hujung bulan ini,” katanya dalam kenyataan.

Nga berkata daripada jumlah keseluruhan sumbangan itu, sebanyak RM1.23 juta disalurkan khusus kepada 12 SJKT di Parlimen Teluk Intan, termasuk SJKT Dato’ Sithambaram Pillay, SJKT Ladang Ulu Bernam 2, SJKT Ladang Nova Scotia 1 dan 2, SJKT Natesa Pillay serta SJKT Thiruvalluvar.

Selain itu, seramai 258 pelajar kaum India turut menerima bantuan kewangan persekolahan berjumlah RM256,600, dengan setiap pelajar sekolah rendah menerima RM1,000, pelajar sekolah menengah RM1,200 dan pelajar universiti RM2,000.

“Sumbangan Kasih MADANI yang diberikan kepada sekolah ini akan digunakan untuk menambah baik prasarana serta persekitaran pembelajaran, sekali gus memberi manfaat kepada ribuan murid Tamil yang menuntut di Parlimen Teluk Intan,” katanya. – Bernama