MELAKA: Dua sekawan maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar sebatang pokok yang terletak di pembahagi jalan di Jalan Persisiran Pantai Klebang, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata dalam kejadian pada 6.45 pagi itu, mangsa yang maut ialah pemandu Proton Wira, Muhammad Nur Zamani Mohd Nazery, 28, dan penumpang, Muhammad Haziq, 25.
“Siasatan awal mendapati kereta dipandu Muhammad Nur Zamani dari arah bandar Melaka menghala ke Bukit Rambai melalui Jalan Persisiran Pantai Klebang dan ketika tiba di tempat kejadian, dipercayai kenderaan terbabit terbabas melanggar kon penghadang jalan lalu berpusing sebelum melanggar pokok di tengah-tengah pembahagi jalan.
“Berikutan kemalangan itu, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah pada kepala, badan dan tangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata mayat dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah Pegawai Bomba Kanan 1 Mohd Zahery Mohd Zailani berkata pihaknya menerima panggilan pada 6.51 pagi sebelum tiba di tempat kejadian 9 minit kemudian.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, pihak kami mendapati pemandu kenderaan terbabit tersepit di dalam kereta manakala rakannya pula tercampak keluar dari kereta itu.
“Operasi terkawal pada 7.18 pagi dan lapan anggota terbabit dalam operasi menyelamat,” katanya