KUALA LUMPUR: Sejak kecil beliau menyaksikan ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong beraksi namun kini berpeluang bergandingan bersama idolanya.
Pada usia baru mencecah 17 tahun, penerjun negara Lee Yiat Qing bakal membuat penampilan sulung pada Kejohanan Akuatik Dunia 2025 di Singapura, lebih manis apabila beliau berkongsi pentas dalam acara 10 meter (m) platform seirama bersama idola zaman kanak-kanaknya.
Yiat Qing yang pernah bergandingan dengan pemenang pingat Sukan Olimpik dua kali itu ketika sesi pemilihan kebangsaan bagi acara berkenaan percaya gandingan mereka kini semakin serasi.
Pemenang pingat emas Sukan SEA 2023 itu menyifatkan dirinya bertuah kerana berpeluang bergandingan dengan Pandelela yang sentiasa memberikan bimbingan teknikal dan sokongan moral.
“Beliau sering beri nasihat mengenai teknik dan setakat ini ia sangat membantu,” kata Yiat Qing kepada Bernama baru-baru ini.
Yiat Qing bukan hanya akan beraksi dalam acara seirama, malah turut bersaing untuk acara 10m platform individu.
Meskipun mengakui tertekan dan teruja menjelang kejohanan dunia pertamanya itu, atlet kelahiran Kuala Lumpur berkenaan tetap bersemangat untuk mencabar kemampuan diri menentang penerjun elit, terutamanya dari negara China.
Namun, beliau sedikit terkilan tidak berpeluang bertemu dan melihat aksi penerjun sensasi China yang juga pemenang dua pingat emas Olimpik acara 10m platform wanita Quan Hongchan.
“Saya memang teringin sangat nak berjumpa Hongchan, tapi saya dapat tahu dia tak bertanding. Agak sedih juga,” katanya.
Media melaporkan penerjun berusia 18 tahun itu tidak beraksi di Singapura disebabkan masalah kecederaan buku lali.
Turut menyertai Yiat Qing dan Pandelela ialah Muhammad Syafiq Puteh, Enrique Harold Maccartney, Elvis Priestly Clement, Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim dan Yong Rui Jie.
Acara terjun pada kejohanan itu akan bermula esok hingga 3 Ogos - BERNAMA