Your Title

SHAH ALAM: Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor belum menerima sebarang notis berhubung status Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang Datuk Abdul Rashid Asari berhubung keahliannya yang digugurkan oleh Bersatu.

Speaker DUN Selangor Lau Weng San berkata beliau masih menunggu pemakluman rasmi daripada pihak pembangkang sebelum sebarang keputusan mengenai kedudukan ADUN berkenaan diputuskan.

“Setakat ini belum terima apa-apa surat lagi... semua tindakan akan dibuat berlandaskan perlembagaan Selangor dan undang-undang yang berkaitan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Terdahulu Ketua Armada Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menggesa Lau turut mengisytiharkan kekosongan bagi kerusi DUN Selat Klang selepas keahlian Abdul Rashid gugur berikutan gagal menjawab surat arahan Majlis Pimpinan Tertinggi untuk menzahirkan taat setia kepada parti.

Abdul Rashid sebelum ini mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Semalam Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Nenggiri selepas menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh Kelantan pada 13 Jun lepas.

Mohd Amar berkata Bersatu pada 12 Jun lepas juga memaklumkan penyandang kerusi berkenaan Mohd Azizi Abu Naim telah digugurkan keahlian, dan seterusnya berlaku kekosongan luar jangka pada kerusi berkenaan.