• 2025-07-12 07:33 PM

PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyatakan kesediaannya untuk menerima pandangan dan memberi penjelasan mengenai sebarang isu berkaitan Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau menegaskan bahawa jawatan yang dipegangnya adalah amanah rakyat dan bukannya keistimewaan peribadi.

Dzulkefly berkata, beliau menganggap kritikan sebagai cabaran dan bukan serangan peribadi. “Antara ‘shape up or ship out’, saya memilih untuk memperbaiki diri, bukan sekadar dengan slogan tetapi dengan tindakan nyata. Saya percaya memperbetulkan sistem lebih penting daripada membina persepsi,“ katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut merujuk kepada kebimbangan yang dikemukakan oleh seorang editor akhbar baru-baru ini yang menuntut ketelusan dalam menangani isu-isu KKM. Antara isu utama yang dibangkitkan termasuk kekurangan jururawat, Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP), dan Sistem ePlacement.

Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, KKM telah mencapai beberapa kejayaan penting seperti pindaan Akta Perubatan 1971 dan penyelesaian isu pendaftaran pakar Parallel Pathway. KKM juga berjaya menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam bagi mengawal penjualan rokok elektronik (vape).

Selain itu, kementerian itu turut meluluskan peruntukan tambahan untuk hospital dan klinik baharu serta memperkukuh penjawatan tetap doktor dan jururawat. “Kami tidak menjanjikan penyelesaian segera, tetapi kami berjanji untuk terus mendengar dan bertindak,“ tegas Dzulkefly. - Bernama