PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sedang menjalankan siasatan terhadap seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang didakwa tidak mematuhi prosedur berkaitan kebenaran kemasukan warga Ghana ke Malaysia melalui Pejabat Imigresen Bukit Kayu Hitam, Kedah.
EAIC dalam kenyataan hari ini, memaklumkan menerima aduan pada 18 Nov 2024 dan siasatan mendapati berlaku ketidakpatuhan prosedur oleh pegawai terlibat.
“Siasatan mendapati pegawai terbabit telah melanggar perenggan 4.1 Pekeliling Imigresen Malaysia (PIM) Bil. 19 Tahun 2002, yang memperuntukkan bahawa pemegang pasport negara-negara Afrika hanya dibenarkan masuk ke Malaysia melalui pintu masuk udara sahaja,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, EAIC memutuskan merujuk kes berkenaan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib JIM dengan syor agar tindakan tatatertib dikenakan terhadap pegawai terbabit di bawah Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993], susulan kesalahan ingkar perintah seperti diperuntukkan di bawah Peraturan 4(2)(i) peraturan sama.