KUANTAN: Istana Pahang hari ini menegaskan penggunaan gelaran perlu mengikut ketetapan negeri Pahang yang mengguna pakai ejaan gelaran Dato’ Sri serta Dato’ dan bukan ejaan Datuk Seri dan Datuk.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Utama Mejar Jeneral Dato’ Mohamed Zahari Yahya berkata Istana Pahang mengambil maklum berkenaan penggunaan ejaan gaya khas (house style) di media-media arus perdana bagi gelaran dan darjah kebesaran yang telah dikurniakan kepada individu-individu terpilih.

“Penggunaan gelaran mengikut ejaan Dato’ Sri dan Dato’ telah termaktub di dalam Undang-undang Darjah dan Bintang Negeri Pahang Darul Makmur sejak sekian lama,“ katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook dan Instagram Kesultanan Pahang.

Menurut kenyataan itu, penggunaan ejaan gelaran sepatutnya mengikut ketetapan setiap negeri yang mengurniakan gelaran dan darjah kebesaran masing-masing bagi menghormati kurniaan yang telah dianugerahkan yang membezakan bagi setiap negeri atau Persekutuan.