• 2025-07-02 02:14 PM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat individu, termasuk dua pemilik syarikat, atas tuduhan mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu berkaitan perolehan percetakan dokumen Permit To Work (PTW) bernilai kira-kira RM5 juta.

Menurut sumber SPRM, kesemua suspek terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 40 hingga 50-an. Mereka ditahan antara pukul 6 petang hingga 7 malam pada 30 Jun lalu ketika memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.

“Selain dua pemilik syarikat, dua lagi suspek merupakan bekas Pengurus Tadbir dan bekas Pembantu Tadbir sebuah syarikat minyak tempatan. Mereka dipercayai terlibat dalam aktiviti ini dari 2019 hingga 2023,“ kata sumber tersebut.

Operasi yang dikenali sebagai Op Effingo ini dijalankan oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM. Pada 30 Jun, BOK menggeledah 10 lokasi termasuk kediaman suspek, pejabat, dan beberapa syarikat di sekitar Kota Kinabalu, Sabah, serta Lembah Klang.

“SPRM menyita 22 akaun bank termasuk akaun ASB bernilai RM2 juta, mata wang asing sekitar RM14,000, tiga kereta mewah bernilai RM1.3 juta, dan tiga telefon bimbit,“ tambah sumber itu.

Suspek direman selama empat hari bermula semalam selepas Mahkamah Majistret Kota Kinabalu meluluskan permohonan SPRM. Mereka akan didakwa di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Akta AMLATFPUAA 2001 berkaitan pengubahan wang haram.