KANGAR: Polis menahan empat lelaki dan merampas 1,456 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM60,240 yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran dalam dua operasi berasingan di sekitar Padang Besar, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Padang Besar ACP Mohd Shokri Abdullah berkata tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun di sebuah rumah tidak bernombor, di Kampung Wang Kelian pada 12.30 tengah malam.

Beliau berkata hasil penahanan, polis merampas 646 kg daun ketum bernilai RM25,840 di kawasan kebun kelapa di bahagian belakang rumah berkenaan.

“Daun ketum itu dipercayai akan dibawa keluar menggunakan laluan tikus sempadan Malaysia-Thailand. Rumah itu pula merupakan rumah terbiar dipercayai dijadikan tempat pengumpulan daun ketum sebelum diseludup ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shokri berkata hasil semakan mendapati lelaki itu mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan direman dari 29 Jun hingga hari ini.

Beliau berkata tangkapan kedua pula membabitkan tiga lelaki tempatan berusia 19 hingga 35 tahun di kawasan Bukit Kerengga, Mukim Chuping pada 9 pagi hari sama serta merampas 810 kg daun ketum bernilai RM34,400.

“Lelaki berusia 35 tahun ditahan semasa menunggang motosikal bernombor pendaftaran Thailand manakala dua lagi berusia 19 dan 33 tahun ditahan ketika menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda.

“Hasil pemeriksaan menemukan 27 guni putih berisi daun-daun hijau disyaki daun ketum yang diletakkan di bahagian belakang kenderaan itu, dipercayai dibawa seludup menggunakan laluan tikus sempadan Malaysia-Thailand,” katanya.

Mohd Shokri berkata lelaki berusia 35 tahun didapati memiliki dua rekod berkaitan dadah manakala lelaki berusia 19 tahun mempunyai satu rekod dadah.

Ketiga-tiganya direman hingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.