ALOR SETAR: Enam ahli keluarga termasuk seorang bayi berusia enam bulan dilaporkan hilang selepas gagal dihubungi oleh sanak saudara sejak Sabtu lalu. Kehilangan Mohd Azim Ezzat Ishak, 32, isterinya Nurul Hidayah Khalijah Razman Effendy, 31, serta empat anak mereka berusia enam bulan hingga sembilan tahun itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan keluarga.
Menurut Nur Adliah Shuhada, adik kepada Mohd Azim, keluarga itu sepatutnya pulang ke Jerlun selepas bermalam di rumahnya di Taman Aman, Jitra. “Saya sangka mereka sudah balik seperti biasa, tetapi ibu mentua abang menghubungi dan memberitahu mereka tidak sampai ke rumah. Saya cuba hubungi berulang kali, tapi tiada jawapan,“ katanya.
Nur Adliah turut menyatakan bahawa sebuah kereta Proton Saga ditemui di Sungai Korok, Jitra, tetapi nombor pendaftarannya tidak sama dengan kenderaan milik abangnya. “Kami sudah buat laporan polis di Balai Polis Jitra dan menyebarkan maklumat kehilangan di media sosial,“ jelasnya.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt Mohd Radzi Abdul Rahim, mengesahkan menerima laporan kehilangan tersebut. Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan untuk mengesan lokasi keluarga berkenaan.