KUALA LUMPUR: Polis merakam keterangan enam individu bagi membantu siasatan kes penasihat agensi pelancongan disyaki mencederakan seorang pelajar sekolah menengah akibat perselisihan faham semasa memandu dalam kejadian di Saujana Impian, Kajang, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata berkata individu berkenaan termasuk mangsa, suspek dan juga saksi kejadian.

“Perintah reman terhadap suspek hanya dibenarkan sehari sahaja oleh mahkamah. Suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun mendakwa dipukul oleh seorang lelaki tidak dikenali akibat perselisihan faham ketika kedua-dua individu berkenaan sedang memandu di kawasan Saujana Impian.

Akibat kejadian itu, remaja lelaki itu mengalami retak pada tulang batang hidung dan mendapatkan rawatan di Hospital Kajang.

Siasatan mendapati remaja terbabit tidak mempunyai lesen memandu dan telah dikenakan tindakan saman trafik, manakala lelaki berusia 39 tahun itu ditahan di sekitar Kajang, pada 9.50 malam semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 serta Seksyen 279 Kanun Keseksaan.