PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mereman enam individu termasuk seorang pengarah syarikat, ketua pegawai kewangan (CFO) dan dua pegawai polis disyaki terlibat tuntutan palsu bernilai kira-kira RM15 juta bagi perolehan kontrak perkhidmatan penyelenggaraan sistem C4i (Arahan, Kawalan, Komunikasi dan Integrasi Komputer).

Perintah reman hingga 30 April ini dikeluarkan Majistret Muhammad Fadzlan Mohd Noor selepas menerima permohonan SPRM di Mahkamah Majistret di sini pagi tadi.

Menurut sumber, lima lelaki dan seorang wanita berumur lingkungan 30 dan 50-an itu ditahan sekitar 8 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

“Siasatan awal mendapati mereka dipercayai melakukan perbuatan itu antara 2022 hingga tahun ini dengan bersubahat mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM15 juta, iaitu sebahagian daripada kerja-kerja komponen di khidmat sokongan tidak dilaksanakan seperti kehendak kontrak.

“Nilai projek C4i keseluruhannya dianggarkan RM70 juta yang diberikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan diuruskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN),“ katanya.

Menurut sumber, penggeledahan telah dilakukan di 15 lokasi termasuk di KDN dan beberapa syarikat di sekitar Johor, Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

“Susulan itu, SPRM menyita empat kenderaan mewah bernilai kira-kira RM1.3 juta selain membekukan 51 akaun bank melibatkan 30 akaun individu dan 21 akaun perniagaan milik 10 syarikat yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM3.5 juta.

“Menerusi operasi yang dijalankan dengan kerjasama PDRM ini, SPRM turut merampas wang tunai kira-kira RM9,000, US$388, 2,340 riyal Saudi, 1,789 riyal Qatar, 15,055 dirham dan 21,219 Kazakhstani Tenge (KZT) serta sembilan telefon bimbit,“ menurut sumber.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.