KUALA LUMPUR: Enam suspek yang ditahan berhubung kes kehilangan bahan api jenis kerosin JET-A1 di Pangkalan Udara Semenanjung, Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata polis juga telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes itu yang berlaku pada 15 Julai lepas.

“PDRM sedang menunggu beberapa laporan daripada pihak bank sebelum menyerahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya dalam masa terdekat,“ katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Mengenai penahanan tiga anggota polis, Hussein berkata siasatan dalaman sedang dijalankan oleh Pasukan Gerakan Udara Polis serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman.

Pada 18 Julai lepas, Hussein berkata enam suspek termasuk tiga anggota polis ditahan selepas pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan bahan api berkenaan pada 15 Julai.

Enam lelaki berumur antara 31 dan 55 tahun termasuk tiga anggota polis sehari kemudian.