JOHOR BAHRU: Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor Mohd Hairi Mad Shah menyifatkan pegawai khasnya, Misnan Ahmad, yang meninggal dunia di Makkah semalam, sebagai seorang yang amat berdedikasi.

Beliau berkata Allahyarham Misnan, 60, yang juga jemaah haji Rombongan Kerajaan Johor (RKJ), bukan sahaja seorang pegawai, tetapi juga seorang sahabat dan insan yang sentiasa meletakkan kepentingan rakyat di hadapan.

“Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar, bukan sahaja kepada saya secara peribadi, tetapi juga kepada seluruh pasukan dan komuniti yang pernah disentuh oleh jasa dan kebaikan beliau.

“Saya amat menghargai segala sumbangan dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh Allahyarham sepanjang tempoh perkhidmatan beliau. Keikhlasan dan komitmen beliau akan sentiasa menjadi inspirasi buat kita semua,” katanya menerusi hantaran Facebook.

Allahyarham Misnan yang juga jemaah daripada penerbangan KT46 dan menginap di Maktab Bangunan Diary Al Saad di Makkah disahkan meninggal dunia di Hospital King Abdul Aziz akibat serangan jantung pada 7.50 pagi, 31 Mei, waktu tempatan.

Allahyarham ialah jemaah haji Malaysia yang kelima meninggal dunia di Makkah.

Mohd Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan mereka agar diberikan ketabahan dan kekuatan menghadapi dugaan ini.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Misnan menerusi satu hantaran Facebook.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,“ katanya.