• 2025-07-12 07:37 PM

KUCHING: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof akan memberikan penjelasan terperinci mengenai isu semasa dan kritikal negara kepada semua Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Langkah ini diambil susulan pertemuan tertutup Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) baru-baru ini.

Fadillah, yang juga Ketua Whip GPS, menekankan kepentingan penjelasan tersebut bagi memastikan semua Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan memahami isu-isu utama yang dibincangkan dalam Kabinet.

“Untuk GPS, kita tidak ada masalah. Kita memahami segala isu dan sebab jumlah Ahli Parlimen kita tidak besar...saya sendiri boleh berinteraksi dengan wakil-wakir kita sebab perkara ini sudah dibincangkan di Kabinet dan saya tahu apa isu yang perlu diberi penjelasan,” katanya.

Beliau menambah bahawa beliau akan memainkan peranan untuk memberikan penjelasan kepada semua Ahli Parlimen GPS dan GRS kerana masa Perdana Menteri mungkin terhad untuk melaksanakan pertemuan dengan semua wakil rakyat.

Fadillah berkata demikian selepas menghadiri Kursus ‘AI for MY Future’ kawasan Parlimen Petra Jaya di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS). Beliau juga mengulas mengenai pertemuan Anwar dengan wakil BN di kediaman rasminya di Seri Perdana, Putrajaya.

Menurut laporan media, mesyuarat tersebut berlangsung lebih sejam dan dipercayai membincangkan isu semasa termasuk sidang Parlimen akan datang.

Fadillah turut memaklumkan bahawa beliau akan menyampaikan penjelasan tersebut dalam satu sesi taklimat khas yang dijadualkan dalam masa terdekat.

“Kita akan ada satu sesi ‘retreat’ membabitkan semua Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan termasuk menteri dan timbalan menteri, dijadual pada minggu depan, jadi, di situ kita akan beri penjelasan lanjut,” jelasnya.

Selain itu, beliau akan berada di Sabah esok bagi menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKMTPMA63). - Bernama