JOHOR BAHRU: Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Fahmi Fadzil antara muka baharu yang berjaya dalam saingan bagi jawatan dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada pemilihan parti itu bagi sesi 2025-2028.

Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi, berada di kedudukan teratas dengan memperoleh 4,811 undi.

Ia diikuti Ketua Angkatan Muda Keadilan Adam Adli Abdul Halim (4,798 undi), Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Chan Ming Kai (4, 753 undi), Ahli Dewan Undangan Negeri Sentosa Dr Gunaraj George (4,699 undi) dan Setiausaha PKR Perak Mohd Azlan Helmi, yang meraih 4,699 undi.

Turut tersenarai bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik, bekas Ketua Cabang PKR Johor Bahru Akmal Nasrullah Mohd Nasir, bekas Ahli Parlimen Merbok Nurin Aina Abdullah, Ketua Cabang Ampang Syed Ahmad Syed Abdul Rahman, atau lebih dikenali sebagai Altimet, dan Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh.

Keputusan rasmi itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa pada Kongres Nasional 2024/2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini malam ini.

Turut membarisi MPP bagi sesi 2025-2028 ialah G. Sivamalar, Sim Chon Siang, A.Kumaresan, Azmi Karap, Lee Chean Chung, Amidi Abdul Manan, Siti Aishah Shaik Ismail, Abang Zulkiflee Abang Engkeh, Elizabeth Wong Keat Ping dan Goh Choon Aik.

Sementara itu, Ketua Wanita PKR yang juga Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mempertahankan jawatannya yang dicabar Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail.

Pemilihan kali ini menyaksikan 251 calon menawarkan diri bertanding yang merangkumi 104 pencalonan bagi MPP, 85 bagi Majlis Pimpinan AMK dan 62 untuk Majlis Pimpinan Wanita.