• 2025-09-17 05:51 PM

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dan memberi sokongan dalam menjayakan sambutan Hari Malaysia 2025.

Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia berkata sambutan itu menjadi begitu bermakna dengan penyertaan semua.

“Kita raikan bukan sahaja sejarah, tetapi juga semangat perpaduan yang menyatukan rakyat.”

“Terima kasih kepada semua yang hadir memeriahkan sambutan di PICCA (Pusat Konvensyen PICCA@Arena), Butterworth malam semalam, serta yang menonton secara langsung dari rumah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut menukilkan serangkap pantun “Satu hati walau berbilang bangsa, Kan bersama bawah naungannya, Satu jiwa tak kira apa warna, Takkan ada yang membezakan kita. Selamanya Malaysia kita!”

Sambutan tahun ini yang bertemakan ‘Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni’ disempurnakan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib dan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow bersama Timbalan-Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas hadir mewakili Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Shahelmey Yahya turut hadir mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor. – Bernama