KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menzahirkan kebimbangan terhadap kecenderungan warganet kini yang menerima ‘bulat-bulat’ maklumat dikongsikan di media sosial sekali gus mengingatkan mereka untuk membuat pengesahan terlebih dahulu agar tidak menjadi mangsa penipuan.
Beliau berkata ini kerana kandungan yang disebarkan di media sosial tidak seperti laporan dihasilkan oleh media arus perdana yang mempunyai etika dan integriti kewartawanan yang tinggi.
“Kita nampak ada satu budaya sekarang ini... rata-rata warganet ataupun netizen menerima ‘bulat-bulat’ apa yang mereka lihat dalam media sosial (sehingga) ada yang menjadi mangsa kepada scam yang melibatkan AI (kecerdasan buatan) deepfake.
“Sebagai contoh, ada yang sampai percaya di Gerik, di Ulu Perak ada kereta kabel, ada yang percaya akibat daripada fitnah yang dihasilkan bahawa Allahyarhamah Zara Qairina (Mahathir) telah meninggal dunia akibat dimasukkan dalam mesin basuh.
“Ada pakar patologi kononnya yang masuk dalam siaran langsung TikTok berkata kononnya dia adalah pakar, walhal bila kita buat semakan dengan KKM (Kementerian Kesihatan), dia bukan doktor pun dan kami dimaklumkan dia ada sejarah scam,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata Persatuan Wartawan Sabah (SJA) juga telah mengeluarkan satu kenyataan menegur pempengaruh yang datang memenuhi sidang media kes kematian pelajar tingkatan satu itu seolah-olah mereka adalah wartawan sebenar.
“(Mereka) bertanya (soalan) tetapi sebenarnya niat mereka adalah untuk menghasilkan kandungan dengan niat keuntungan kepada diri sendiri (kerana) bila jumlah tontonan berjuta, mesti ada pulangan kewangan kepada pempengaruh itu tetapi aspek integriti, aspek pengesahan identiti ini tidak dilakukan,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata Jabatan Penerangan Malaysia, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Jabatan Penyiaran Malaysia akan digerak untuk menghasilkan kandungan yang dapat membantu rakyat memahami bahawa tidak semua yang mereka lihat di media sosial adalah benar.
Sementara itu, mengulas mengenai kes lima remaja berusia bawah 18 tahun yang dihadapkan ke Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, Sabah hari ini, Fahmi berkata nama mereka tidak boleh didedahkan kerana terikat dengan kerahsiaan di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001.
“Ini bukan atas arahan mana-mana pihak tapi berdasarkan undang-undang sedia ada, mana-mana kes yang melibatkan kanak-kanak bawah 18 tahun memang Akta Kanak-Kanak akan terpakai, jadi ia secara automatik (tertakluk kepada akta ini),” katanya.
Terdahulu, kelima-lima remaja perempuan didakwa atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina, bulan lepas. – Bernama