• 2025-08-20 06:32 PM

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi sedang melaksanakan Kajian Pembangunan Industri Muzik bagi meneliti isu, cabaran serta cadangan pelan tindakan ke arah memperkasakan pembangunan industri berkenaan di Malaysia secara mampan dan dinamik.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kajian itu turut memperhalusi model perniagaan, tadbir uris, perjawatan dan undang-undang khusus yang boleh menyokong pembangunan industri berkenaan.

“Bagi muzik pada waktu ini kita tidak ada akta khusus, oleh itu pihak kementerian sedang meneliti apakah cara terbaik untuk pastikan digubal satu akta bagi memastikan aspek kebajikan, kelestarian dan pembangunan industri muzik.”

“Kita tengah teliti dan kajian ini turut mengambil kira pandangan dan input pemain industri muzik melalui Jawatankuasa Protem Industri Muzik,“ katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata seramai 20 ahli Jawatankuasa Protem Industri Muzik telah dilantik terdiri daripada pelbagai bidang termasuk komposer, penulis lirik, syarikat rakaman atau studio, penyanyi, pemuzik, Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO), syarikat penerbitan, wakil persatuan, ahli akademik dan pengurusan acara.

Fahmi berkata hasil kajian itu akan dijadikan sebagai input dalam menentukan ketersediaan dan keperluan badan khusus dalam mengawal selia pembangunan industri muzik atau memasukkan industri muzik ke dalam fungsi agensi atau badan kawal selia yang sedia ada.

Mengenai cadangan pindaan Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) 1981 (Akta 244), beliau berkata ia dijangka dibentang dalam mesyuarat Parlimen pada Oktober ini.

Beliau berkata proses penambahbaikan terhadap akta itu merangkumi peluasan skop kawal selia, tadbir urus, fungsi dan aspek penguatkuasaan.

Antara cadangan pindaan di bawah Akta 244 adalah berkaitan Ahli Perbadanan Finas yang terletak di bawah skop tadbir urus bagi menambah baik struktur keanggotaan agar terdiri daripada penggiat industri filem tempatan berpengalaman, memiliki rekod pencapaian cemerlang dalam bidang perfileman tempatan dan mempunyai kredibiliti dalam memperjuangkan kebajikan penggiat industri.

“Ia juga melibatkan peluasan skop kawal selia termasuk pindaan kepada tafsiran beberapa istilah utama seperti ‘filem’, ‘pengeluaran filem’ dan ‘pengedaran filem’.”

“Selain itu, tafsiran baharu turut diperkenal antaranya ‘aplikasi’ dan ‘perkhidmatan aplikasi kandungan’ bagi memperjelaskan lagi definisi ‘filem’ selaras dengan perkembangan teknologi dan medium penyiaran semasa,“ katanya.

Cadangan pindaan juga bertujuan menambah baik skop fungsi Finas dengan memperinci peranan dalam aspek pengarkiban serta aktiviti promosi dan pemasaran filem tempatan di peringkat antarabangsa dan penambahbaikan dalam skop penguatkuasaan, khususnya berkaitan dengan pelaksanaan denda dan kompaun melibatkan pelesenan di bawah Finas.

Mengenai usaha meningkatkan kerjasama pemuzik dalam kalangan ASEAN, Fahmi berkata RIUH X ASEAN 2025 akan berlangsung Oktober ini bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

“Ini merupakan tempat di mana kita akan peragakan pemuzik-pemuzik bukan hanya tempatan tetapi juga dari ASEAN dan ini satu peluang yang baik untuk kita merapatkan lagi hubungan antara para pemuzik dalam dan luar negara terutama membina satu semangat dalam kalangan negara-negara ASEAN,“ katanya. – Bernama