GENEVA: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil akan mengetuai delegasi Malaysia ke World Summit on the Information Society+20 High-Level Event (WSIS+20) di Geneva, Switzerland dari 7 hingga 11 Julai.
Menurut kenyataan Kementerian Komunikasi, penyertaan Malaysia dalam WSIS+20 adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan MADANI untuk memperkukuh ekosistem teknologi komunikasi yang inklusif dan selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
“Penyertaan ini membawa pelbagai manfaat strategik kepada negara, termasuk pengiktirafan global terhadap kepimpinan Malaysia dalam peluasan capaian internet luar bandar, keterangkuman teknologi komunikasi serta inisiatif memperkasakan celik ICT rakyat,“ menurut kenyataan tersebut.
Malaysia juga akan menggunakan platform WSIS untuk mempromosikan inisiatif utama seperti Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
Inisiatif ini diharap dapat mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam transformasi digital.
WSIS merupakan platform anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertujuan memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk pembangunan mampan.
Ia merangkumi pelbagai komponen, termasuk Garis Tindakan WSIS yang meliputi 11 bidang tumpuan berkaitan ICT seperti infrastruktur, keselamatan siber, dan pembangunan kapasiti.
Selain itu, Anugerah WSIS yang diperkenalkan pada 2012 turut mengiktiraf projek-projek berimpak tinggi dalam bidang teknologi.
Setakat ini, sebanyak 234 pemenang dan 648 juara telah diiktiraf.
Sepanjang sidang WSIS+20, Fahmi dijadual mengadakan lebih 10 mesyuarat dua hala bersama rakan sejawat dari pelbagai negara, termasuk United Kingdom, Arab Saudi, Poland, Somalia, Greece, Rusia, dan Algeria.
Beliau juga akan bertemu dengan Setiausaha Agung Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) Doreen Bogdan-Martin. – Bernama