SHAH ALAM: Tonggak utama Selangor FC Mohamad Faisal Abdul Halim masih belum boleh melakukan aktiviti kecergasan berat ekoran luka kelecuran dialaminya belum pulih sepenuhnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon berkata luka di beberapa bahagian badan Mohamad Faisal masih basah selain kekuningan seperti bernanah.

“Saya ada melawat beliau minggu lepas dan dapat lihat bahagian luka masih lagi basah dan berwarna kekuningan, tetapi saya tidak pasti itu adalah nanah atau sebaliknya,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian di antara Selangor FC dan Johawaki Holdings Sdn Bhd (Johawaki Holdings) di pusat latihan Selangor FC di sini hari ini.

Johan Kamal berkata pemain sayap sensasi Harimau Malaya kelahiran Pulau Pinang itu kini menjalani sesi fisioterapi ringan dan tidak berpeluh selain perlu menghadirkan diri ke hospital empat hari sekali untuk mencuci luka dan pemeriksaan kesihatan.

Beliau berkata Selangor FC mahu pastikan luka Mohamad Faisal sembuh sepenuhnya sebelum pemain itu dibenarkan memulakan fasa kedua pemulihan yang melibatkan kecergasan fizikal.

“Bila Mohamad Faisal boleh jalani latihan sepenuhnya, itu kami tidak dapat pastikan. Kami beri masa untuk dia betul-betul pulih dahulu,“ katanya.

Sebelum ini, Mohamad Faisal dilaporkan mengalami kelecuran tahap empat akibat disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli belah di Petaling Jaya.

Pada 25 Mei lalu, Selangor FC menerusi kenyataan mengesahkan pemain sayapnya itu dibenarkan keluar dari sebuah hospital swasta di sini selepas menjalani empat pembedahan susulan insiden berkenaan.

Berhubung kerjasama dengan Johawaki Holdings, Johan Kamal berkata perjanjian itu akan menyaksikan sokongan syarikat tersebut kepada Selangor FC meliputi penajaan kewangan untuk kemudahan latihan serta pembangunan kelab.

Kerjasama itu juga akan menyaksikan logo Johawaki dipamerkan pada jersi Selangor FC serta pelbagai aplikasi digital pasukan sebagai penjenamaan kepada penaja, menurutnya.

Terdahulu, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Presiden Selangor FC berkenan menyaksikan perjanjian kerjasama itu yang ditandatangani oleh Johan Kamal dan Pengerusi Johawaki Holdings Mohd Zulfitri Basir.