KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia telah memfailkan rayuan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa berhubung keputusan tatatertib isu dokumentasi kelayakan tujuh pemain kebangsaan.
Pemangku Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata pihaknya bertindak pantas setelah menerima penghakiman penuh FIFA pada 7 Oktober lepas.
Beliau menyatakan pasukan perundangan FAM menyiapkan segala dokumen untuk diserahkan sebelum tarikh akhir.
Persediaan memfailkan rayuan dilakukan dengan teliti bagi mengelakkan sebarang masalah timbul pada peringkat seterusnya.
“Sudah tentu apabila kita mengemukakan rayuan harapan kita supaya rayuan diterima, memperoleh keputusan positif dan berpihak kepada kita,“ katanya.
Mohd Yusoff menekankan proses rayuan ini seperti pusingan kedua untuk FAM dengan persiapan lebih baik, kemas dan teliti.
Bulan lepas, FAM dan tujuh pemain warisan negara dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Perkara 22 Kod Tatatertib FIFA.
FIFA memaklumkan bahawa FAM telah menyerahkan dokumen palsu bagi mengesahkan kelayakan pemain berkenaan.
Dokumen tersebut membolehkan pemain beraksi dalam perlawanan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun.
FAM dikenakan denda 350,000 franc Switzerland atau kira-kira RM1.8 juta manakala setiap pemain didenda 2,000 franc Switzerland atau kira-kira RM10,560.
Ketujuh-tujuh pemain juga digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak berkuat kuasa mulai tarikh notifikasi keputusan tersebut.
FAM dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan bahawa pihaknya mengenal pasti wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen.
Kesilapan tersebut dilakukan oleh petugas pentadbiran FAM semasa proses penyerahan dokumen tujuh pemain berkenaan.
FAM sebelum ini turut dilaporkan tidak menolak kemungkinan membawa perkara itu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan sekiranya rayuan di peringkat FIFA tidak membuahkan hasil.
Dalam perkembangan berasingan, Mohd Yusoff berkata FAM menyerahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib untuk mengambil langkah seterusnya mengenai kenyataan ketua jurulatih skuad kebangsaan Peter Cklamovski.
Beliau berkata beliau secara peribadi menerima permohonan maaf yang telah dibuat pengendali dari Australia itu.
Mohd Yusoff menjelaskan FAM tertakluk kepada statut yang seharusnya dihormati oleh semua pihak. – Bernama