PERSATUAN BOLASEPAK MALAYSIA (FAM) mempertahankan peranannya dalam pembangunan bola sepak akar umbi dengan menolak pandangan bekas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengenai Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
Pemangku Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi menegaskan bahawa FAM sebagai badan induk bertanggungjawab menguruskan NFDP dan bersedia memacu pelaksanaannya ke tahap lebih tinggi.
“Walaupun berdepan kekangan termasuk soal dana, FAM sudah bersedia mengambil alih NFDP jika diminta,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menekankan bahawa pembangunan bola sepak sememangnya berada di bawah FAM dan tidak boleh ada dua entiti mengurus perkara sama kerana ia akan menimbulkan ketidakselarasan.
Semalam, Khairy Jamaluddin menyatakan bahawa NFDP wajar kekal di bawah kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) buat masa ini kerana FAM dan persatuan negeri didakwa masih belum bersedia sepenuhnya.
Bagaimanapun, Mohd Yusoff berkata FAM terbuka menerima sebarang pandangan serta kritikan demi memperkukuh pembangunan bola sepak negara.
“Segala teguran boleh dijadikan panduan untuk menambah baik NFDP,” katanya.
NFDP dilancarkan pada 10 April 2014 oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai program pembangunan menyeluruh untuk remaja berusia tujuh hingga 17 tahun di seluruh negara.
Program ini merangkumi Akademi Tunas Lelaki dan Wanita, Pusat Latihan Daerah, Sekolah Sukan Negeri serta Akademi Peringkat Zon. – Bernama