MELAKA: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan untuk mengeksport kira-kira 300 tan metrik ayam proses setahun dari Semenanjung ke Sabah dengan anggaran pembelian RM3 juta.

Pengerusinya Aminuddin Zulkipli berkata buat permulaan, FAMA mengeksport sebanyak 12 tan metrik ayam proses dengan anggaran nilai RM110,000 menerusi penghantaran pertama yang berlepas hari ini.

Beliau berkata inisiatif itu bagi menampung keperluan penduduk Sabah yang ketika ini mendapatkan bekalan ayam proses import dari Thailand dan China.

“Selain itu, inisiatif ini dilakukan selaras dengan pindaan Akta 141 FAMA 1965 yang membenarkan agensi ini mengurus pemasaran produk ternakan sekali gus membuka peluang lebih luas kepada FAMA memasarkan produk pertanian dan ternakan.

“Ia juga bertujuan membantu penternak dan usahawan tani memasarkan produk mereka dengan cara yang lebih berkesan,“ katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Pelepasan Penghantaran Ayam Proses Ke Pasaran Sabah di Pejabat FAMA Melaka di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri dan Pengarah FAMA Melaka Nor Azhar Abdul Hamid.

Aminuddin berkata penghantaran dengan laluan laut itu mengambil masa kira-kira dua minggu dan melibatkan pelbagai proses termasuk kelulusan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Beliau berkata harga ayam proses yang ditawarkan kepada pengguna di Sabah ialah lima peratus lebih rendah berbanding harga semasa iaitu sekitar RM12.40 sekilogram dan harga berkenaan dijangka dapat diturunkan lagi sekiranya meraih permintaan tinggi.

“Ayam proses yang dieksport ke pasaran Sabah itu akan diagihkan secara peruncitan menerusi rangkaian outlet FAMA di seluruh Sabah selain diedarkan kepada pemborong.

“Kita berharap apa yang diusahakan FAMA ini akan memberikan kemudahan atau alternatif kepada pengguna di Sabah yang selama ini banyak bergantung kepada bekalan import dari luar negara,“ katanya.

Beliau berkata usaha mengeksport ayam proses itu juga bertujuan menjalin kerjasama lebih baik antara FAMA dengan pemain industri antaranya pengusaha dan penternak ayam di Semenanjung selain tidak bertujuan untuk mendominasi pasaran eksport di Sabah.

Sebaliknya ia sebagai inspirasi atau galakan kepada pengimport di Sabah untuk terus terlibat dala