• 2025-09-08 06:08 PM

GUA MUSANG: Pendapatan hiliran peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) diperkasakan melalui peruntukan yang disalurkan di bawah Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI).

Pengarah Felda Wilayah Gua Musang Mohd Ardi Baharom berkata program itu memperuntukkan RM100,000 bagi setiap tanah rancangan.

Sehingga kini Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda telah mengemukakan 11 permohonan dengan dua daripadanya berjaya menerima kelulusan berjumlah RM200,000.

Peruntukan itu digunakan bagi menambah pendapatan hiliran di 11 tanah rancangan dalam wilayah berkenaan melibatkan kira-kira 15,560 warga Felda termasuk tiga tanah rancangan di Kemahang, Tanah Merah.

Dua permohonan telah mendapat kelulusan, antaranya projek katering di Felda Aring dan projek traktor di Felda Chiku 6 yang sedang berjalan ketika ini.

Mereka masih menunggu kelulusan lapan lagi permohonan, manakala satu permohonan yang tidak berjaya telah dikemukakan semula.

Meskipun kehidupan komuniti Felda kini semakin baik dan selesa dengan pembangunan di tanah rancangan, mereka masih giat berusaha meningkatkan taraf hidup.

Kerajaan juga banyak memberi fokus bukan sahaja kepada pembangunan peneroka tetapi turut menitikberatkan pembangunan generasi akan datang.

SejaTi MADANI berperanan sebagai pemangkin semangat komuniti Felda untuk mengembangkan ekonomi serta menambah pendapatan sampingan.

Ini amat bermanfaat kerana ia mendorong peneroka mencari pendapatan tambahan dan tidak hanya bergantung kepada bantuan semata-mata. – Bernama