KUALA LUMPUR: Filem boleh memainkan peranan penting dalam pemupukan persefahaman antara negara, kata Duta Besar Jepun ke Malaysia Katsuhiko Takahashi.

Justeru, beliau berharap rakyat Malaysia akan memanfaatkan Festival Filem Jepun (JFF) 2024 yang sedang berlangsung untuk memahami dengan lebih mendalam tentang negara itu.

“Saya harap festival filem ini akan memberikan peluang kepada rakyat Malaysia untuk belajar lebih mendalam tentang nilai, budaya dan gaya hidup masyarakat Jepun, memupuk minat dan seterusnya mencetuskan keinginan untuk melawat negara kami,” katanya berucap pada pelancaran festival itu di sini.

Majlis turut dihadiri oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Takahashi berkata tarikan utama festival tersebut ialah tayangan perdana filem Godzilla Minus One, arahan Takashi Yamazaki.

“Filem ini yang memenangi kategori Kesan Visual Terbaik di Academy Awards ke-96, bukan hanya ditayangkan di pawagam biasa tetapi juga panggung IMAX, dikenali sebagai pawagam dengan visual dan sistem bunyi yang hebat,” katanya.

Takahashi turut menzahirkan penghargaan buat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) atas sokongan yang diberikan dalam mempermudah usaha memperkenalkan filem dan kandungan dari Jepun kepada masyarakat Malaysia.

“Saya teruja untuk meraih pengalaman menonton filem paling menakjubkan yang pernah saya lalui, semuanya kerana keselesaan venue, skrin besar dan kesan bunyi yang hebat di Golden Screen Cinemas (GSC) ini,” katanya.

Berlangsung dari 12 Sept hingga 20 Okt depan, JFF tahun ini meraikan ulang tahun ke-20 dengan tayangan diadakan di pawagam GSC terpilih di seluruh negara, menampilkan lebih 13 buah filem daripada pelbagai genre seperti drama, fiksyen sains, percintaan, thriller dan animasi.

Selain Godzilla Minus One, filem lain yang akan ditayangkan ialah anime klasik Akira (1988) garapan Otomo Katsuhiro dan Sand Land (2023) oleh mendiang Toriyama Akira, penggarap Dragon Ball, serta filem-filem baharu seperti Matched (2024), All the Long Nights (2024) oleh Miyake Sho, dan A Samurai in Time (2024) yang baru saja ditayangkan di Jepun bulan lepas.

Tiket untuk kebanyakan filem di JFF 2024 berharga RM10, namun bagi A Samurai in Time adalah berdasarkan harga tiket semasa GSC sementara tiket untuk menyaksikan tayangan Godzilla Minus One di IMAX pula berharga RM50.