• 2025-09-05 09:13 PM

KUANTAN: Seekor gajah dikesan berkeliaran di kawasan kuarters Klinik Kesihatan Bandar Jerantut, Jerantut pada hari ini.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang Rozidan Md Yasin mengesahkan kehadiran haiwan liar itu melalui pemantauan selepas menerima aduan sekitar jam 10.15 pagi.

Pemantauan mengesahkan mamalia itu berada di lokasi aduan berdasarkan kesan jejak yang ditemui di kawasan tersebut.

Hasil siasatan mendapati saiz tapak gajah berkenaan dianggarkan 14 inci atau bersamaan 35.5 sentimeter.

Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan segera melaporkan sebarang kejadian membabitkan hidupan liar kepada PERHILITAN untuk tindakan lanjut. – Bernama