• 2025-07-05 03:03 PM

JERTIH: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan menubuhkan galeri khas sebagai penghargaan kepada pelajarnya, Allahyarham Nurly Sahirah Azman, yang meninggal dunia dalam kemalangan bas di Gerik, Perak, bulan lalu. Galeri Nurly Sahirah akan ditempatkan di Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (I-Furqan) UPSI yang dijangka siap pada 2027.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata galeri ini bertujuan memperingati semangat Nurly Sahirah dalam menghafal dan menulis al-Quran. “Jika diizinkan keluarganya, mushaf tulisan tangan beliau akan dipamerkan sebagai inspirasi kepada pelajar lain,“ katanya selepas menziarahi keluarga Allahyarham di Kampung Gong Pasir.

Galeri tersebut bukan sekadar mempamerkan karya Nurly Sahirah tetapi juga koleksi mushaf dan kitab agama lain untuk rujukan pelajar. Mohd Na’im turut mengajak orang ramai dan pihak swasta menyumbang secara wakaf bagi memperkukuhkan projek ini.

Nurly Sahirah, 23, antara 15 pelajar UPSI yang maut dalam nahas bas pada 9 Jun lalu. Bas sewaan mereka terbalik selepas bertembung dengan MPV di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB). Kejadian itu turut menyebabkan 33 individu cedera.

Mohd Na’im turut menziarahi keluarga mangsa lain dan menyampaikan sumbangan RM7,500 kepada setiap waris serta RM4,000 kepada pelajar yang cedera. Sumbangan ini disalurkan melalui Yayasan Taqwa MAIWP, YAPEIM, dan Tabung Musa’adah Jakim.