• 2025-09-07 01:49 PM

TAWAU: Liputan telekomunikasi di Kampung Kuala Merotai, Tawau telah berjaya dipulihkan sepenuhnya selepas mengalami gangguan berpunca daripada isu bekalan elektrik baru-baru ini.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata beliau telah meninjau sendiri pengoperasian Menara JENDELA di kampung berkenaan susulan aduan daripada wakil rakyat dan penduduk setempat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Beliau menyatakan aduan tersebut telah diselesaikan oleh pihak penyedia perkhidmatan dan liputan berjaya dipulihkan sepenuhnya.

Fahmi berkata bagi memastikan gangguan sama tidak berulang, penyedia perkhidmatan telah diarahkan untuk menyediakan kuasa sokongan seperti generator mudah alih.

Mereka juga perlu menambah kapasiti bateri sehingga mampu membekalkan kuasa selama lapan jam.

Menara itu mula beroperasi pada 27 September 2024 menggunakan 4-Way Multi-Operator Core Network dengan perkongsian perkhidmatan CelcomDigi, Maxis dan U Mobile.

Menara tersebut diuruskan oleh syarikat Redtone untuk memastikan perkhidmatan berterusan.

Hasil ujian menggunakan aplikasi MCMC NEXUS mendapati menara ini menawarkan kelajuan sekitar 50Mbps bagi perkhidmatan 4G.

Perkhidmatan ini memanfaatkan kira-kira 1,200 penduduk di sekitar kawasan tersebut.

Ini membuktikan usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk memastikan rakyat menikmati liputan telekomunikasi yang stabil dan berkualiti. – Bernama