PARIT BUNTAR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memastikan agar tiada lagi kes yang disifatkan sebagai sweep under the carpet’ atau disembunyikan, berkaitaan gejala buli di sekolah yang sebenarnya boleh diambil tindakan atau pendekatan untuk menyelesaikannya.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pihaknya memberikan perhatian penuh mengenai perkara itu, dengan menambah baik garis panduan menangani gejala buli di peringkat institusi KPM, dengan kerjasama semua agensi termasuk polis dan pihak berkepentingan di peringkat sekolah.

“Kita juga memberikan ruang yang penuh dalam meningkatkan keupayaan dan kapasiti serta peranan guru kaunseling dan kaunselor di sekolah. Satu aspek yang penting ialah apabila kita lebih terbuka bercakap tentang perlunya mengambil sikap yang tegas dalam gejala ini, kita menerima aduan yang lebih tinggi.

“Maksudnya mereka bersedia untuk bercakap dan memberikan maklumat kepada kita. Jadi, saya mahu lihat perkara ini dalam sudut yang lebih positif mengangkat aduan ini untuk tindakan kita. Kita tak nak ada lagi kes-kes yang kita sebut sebagai sweep under the carpet yang sebenarnya kita boleh ambil tindakan”, katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Antibuli Peringkat Daerah Kerian 2024 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Parit Buntar, di sini hari ini.

Fadhlina berkata Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA) diberikan ruang yang penuh, telus dan integriti, untuk memastikan semua aduan berkaitaan gejala buli dikendalikan dengan pendekatan penyelesaian yang diambil KPM.

Beliau juga berkata Program Antibuli di sekolah perlu dibawa ke peringkat yang lebih luas, dengan komitmen Jabatan Pendidikan Negeri dan yakin gejala buli di sekolah dapat ditangani dengan lebih berkesan berteraskan pendidikan.

Mengulas mengenai kes buli pelajar wanita di sebuah sekolah menengah dalam daerah Kerian di sini, Fadhlina berkata siasatan dan tindakan sedang dilakukan oleh pihak sekolah berdasarkan garis panduan KPM.

“Jadi sebab itu saya fikir kita sudah ada ruang, kita sudah ada penyelesaian, bagaimana tindakan harus diambil, penjelasan serta penerangan kepada ibu bapa. Saya tekankan bahawa pendekatan kita ialah pendidikan. Jadi apa pun tindakan baik, tegas, ia masih lagi dalam konteks pendidikan,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial satu rakaman video berdurasi satu minit 21 saat, memaparkan seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun dibuli oleh dua pelajar perempuan berusia 15 tahun dari sekolah sama.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata siasatan awal mendapati, kejadian berlaku pada 14 Jun di sebuah sekolah menengah di daerah Kerian, yang didakwa berpunca dari sikap cemburu salah seorang suspek terhadap mangsa, selepas dikatakan rapat dengan teman lelakinya berusia 15 tahun dari sekolah sama.