SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) setakat ini telah menahan 108 individu disyaki terlibat dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).
Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata tangkapan berkenaan dibuat dalam pelbagai kesalahan jenayah syariah meliputi perkara berkaitan akidah, pungutan khairat tanpa kebenaran dan perkahwinan.
“Siri tangkapan ini dijangka berterusan melibatkan suspek yang disyaki dan telah dikenal pasti berdasarkan risikan, aduan dan maklumat diterima oleh pihak JAIS,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata hasil siasatan terhadap kesemua suspek, JAIS mendapati wujud beberapa fakta mengenai amalan dan kepercayaan suspek yang bercanggah dengan fatwa dikuatkuasakan.
“Ini termasuk amalan mempercayai beberapa perkara dikaitkan dengan pimpinan adalah sesuatu yang memberikan keberkatan kepada ahli dan membolehkan ahli masuk syurga, mengamalkan Aurad Muhammadiah, percaya Abuya tidak mati dan berada di alam ghaib, mayat Abuya terapung kerana Allah angkat Abuya, Rasulullah SAW atau Abuya hadir dalam majlis-majlis tertentu anjuran kumpulan,” katanya.
Mohd Shahzihan berkata siasatan juga mendapati perkahwinan dan perceraian diatur pemimpin kumpulan selain menjalankan akad perkahwinan dengan cara ditentukan oleh pemimpin.
Menurutnya, dapatan siasatan juga menunjukkan perkahwinan tidak dapat dibuktikan dengan keterangan dokumen yang sah dan perkahwinan antara anak dara dan teruna tanpa kebenaran Pendaftar Perkahwinan, Cerai dan Rujuk Orang Islam Negeri Selangor serta poligami dibuat tanpa kebenaran Mahkamah Syariah berbidang kuasa.
“Situasi ini telah menyebabkan berlaku kecelaruan dalam penentuan nasab, status perkahwinan serta dokumentasi perkahwinan ibu bapa kanak-kanak (mangsa). Perkara ini dijangka memberi kesan terhadap kanak-kanak yang telah diselamatkan sebelum ini apabila mereka menginjak ke alam remaja dan dewasa kelak.
“Tidak mustahil keadaan ini berpotensi besar menjejaskan penentuan nasab dan memungkinkan berlakunya pernikahan yang fasid atau wati’ syubhah,” katanya.
Beliau berkata JAIS juga bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pendaftaran Negara serta agensi berkepentingan lain untuk mengenal pasti salasilah sebahagian besar kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global.