• 2025-09-18 02:59 PM

KUALA TERENGGANU: Seorang guru agama mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak lelaki pada Februari lepas.

Mohamad Aswadi Yah, 46, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa berusia 14 tahun di sebuah rumah di Jalan Pantai Batu Rakit Kampung Mengabang Telong di sini pada 9 malam 15 Feb.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabihah Hanin Ayim menawarkan jaminan RM20,000 bagi dua pertuduhan dengan syarat tambahan dilarang mendekati mangsa dan mengganggu saksi pendakwaan.

Peguam Mohd Irwan Sumadi mewakili lelaki itu memohon jaminan minimum kerana Mohamad Aswadi menanggung keluarga termasuk isteri yang menghidap penyakit darah tinggi.

Hakim Wan Nor Aklima Wan Salleh membenarkan jaminan RM18,000 dengan seorang penjamin bagi dua pertuduhan dan menetapkan 5 Nov untuk sebutan semula kes - BERNAMA