KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor hari ini mendakwa beliau telah memperoleh sokongan 44 Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah (ADUN) Sabah daripada GRS, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Hajiji berkata dengan sokongan itu kerajaan negeri Sabah sedia ada masih kekal serta utuh, dan beliau masih Ketua Menteri pada masa ini.
“Ini bermakna bahawa kerajaan (negeri) yang ada ini, saya pimpin ini, masih lagi utuh dan kuat, juga akan terus mentadbir negeri Sabah,“ katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau terdahulu menghadiri perjumpaan lebih sejam petang ini bersama 44 ADUN Sabah di Kediaman Rasmi Ketua Menteri Sabah di Sri Gaya di sini.
Turut hadir Pengerusi PH Sabah Datuk Christina Liew, naib presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) (PH) yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat negeri Datuk Shahelmey Yahya (BN), dan Setiausaha PAS Sabah Aliakbar Gulasan.
Seramai 29 daripada 44 ADUN adalah daripada GRS, PH (7), BN (5), PAS (1), Parti Harapan Rakyat Sabah (1) dan Bebas (1).
Menurut Hajiji beliau sudah menyerahkan akuan bersumpah kesemua ADUN yang menyokongnya itu kepada Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu semalam.
Mengulas dakwaan kedudukan beliau sebagai Ketua Menteri tidak mengikut Perlembagaan Negeri Sabah, Hajiji berkata: “mengenai perlembagaan (negeri) ini, mana yang tidak puas hati, mereka boleh bawa ke mahkamah untuk buat keputusan”.
Mengenai rombakan kabinet negeri, beliau berkata perkara itu akan diputuskan dalam masa terdekat.
Sementara itu, Shahelmy berkata keputusannya menyokong kerajaan negeri sedia ada dan Hajiji sebagai ketua menteri, adalah bagi memastikan kesinambungan pembangunan Sabah dapat diteruskan dengan berkesan demi rakyat.
“Ini bukan masanya untuk kita bertukar kerajaan atau bermain politik, rakyat perlukan kita. Pendirian saya kekal tidak bertukar apa-apa untuk rakyat kita,“ katanya.
Sementara itu, Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika ditanya mengenai dakwaan Hajiji berkata: “Sudah tentu mereka dapat (sokongan) 44 ADUN, mereka ambil orang saya (ADUN BN)” namun enggan mengulas lanjut.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dari Kuala Lumpur.
Pengerusi Perhubungan Umno Sabah itu turut mendakwa kerajaan negeri kini sudah tidak ada dan jawatan Ketua Menteri yang disandang Hajiji terlerai selepas BN menarik sokongan pada 6 Jan lepas.
Ditanya status jawatan beliau sebagai Timbalan Ketua Menteri, Bung Moktar berkata: “Saya tidak tahu.”
“Kita tunggu Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang akan datang esok (ke Sabah) bertemu kita (BN), Parti Warisan dan GRS, kemudian kita bincang mengenai perkara ini,” katanya.
Mengenai pertemuan dengan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Kuala Lumpur, beliau berkata perbincangannya bersama Presiden Umno itu adalah mengenai hala tuju parti dan situasi politik di Sabah ketika ini. - Bernama