KUALA LUMPUR: Pengurus dana aset digital berlesen pertama Malaysia Halogen Capital Sdn Bhd melancarkan secara rasmi tiga dana mata wang kripto patuh Syariah pertama di dunia untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

Tiga dana mata wang kripto patuh Syariah tersebut ialah Dana Halogen Shariah Bitcoin, Dana Shariah Ethereum dan Dana Halogen Shariah Crypto Titans.

Halogen Capital, yang memegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal penuh untuk pengurusan dana daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, turut melancarkan dana bukan mata wang kriptonya, Dana Halogen Shariah Ringgit Income.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Liew Ooi Hann mengumumkan bahawa syarikat itu telah melepasi RM100 juta aset di bawah pengurusan (AUM) daripada lebih 800 pelanggan.

“Matlamat kami adalah untuk membina momentum ini dan mencapai RM1 bilion AUM dalam tempoh dua tahun akan datang dan menjadi peneraju global dalam aset digital patuh Syariah,“ katanya pada majlis pelancaran rasmi dana tersebut, hari ini.

Beliau berkata pelancaran tersebut menyediakan peluang kepada pelabur canggih, seperti individu kaya dan pelabur institusi yang mencari strategi yang disesuaikan, untuk terlibat dalam pasaran aset digital yang semakin berkembang pesat.

Halogen Capital dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas pelancaran itu berkata, pada masa ini syarikat tersebut menawarkan pelabur individu, korporat dan institusi akses kepada aset digital seperti Bitcoin dan Ethereum, dengan tambahan kemudahan, kejelasan cukai dan jaminan dana unit amanah.

Syarikat itu berkata dana patuh Syariahnya diselia oleh penasihat Syariah terkemuka, Amanie Advisors dan Tawafuq Consultancy.