PETALING JAYA: Calon Parti Bangsa Malaysia bagi Hulu Selangor, Haniza Mohamed Talha berjanji akan memberi keutamaan dalam menyelesaikan masalah penduduk di Pangsapuri Seri Cempaka, Pinggiran
Tasik Kiambang di Serendah yang hidup dalam ketakutan berikutan retakan pada struktur bangunan.
Menurutnya, masalah tersebut masih berlarutan walaupun penduduk telah membuat aduan sejak tahun lalu.
Penyandang Adun Lembah Jaya yang kini timbalan presiden yang kini timbalan presiden PBM berkata penduduk di sana tidak patut hidup dalam ketakutan yang rumah mereka akan runtuh pada bila-bila masa, atau mengalami lebih banyak keretakan.
“Saya juga difahamkan bahawa berdasarkan hasil siasatan awal Jabatan Mineral dan Geosains, beberapa cadangan telah dikemukakan. Ini termasuk siasatan lanjut subpermukaan dan kestabilan kawasan sekitar; membaiki dengan kadar segera longkang-longkang yang telah rosak; mengkaji semula sistem perparitan di sekitar kawasan; serta mitigasi di kawasan cerun untuk mengelak air daripada terus keluar mengalir dari cerun.
“Memandangkan saya pernah menjadi exco Selangor yang bertanggungjawab untuk perumahan antara 2018 dan 2020, saya agak arif dengan isu perumahan.
“Saya berjanji akan memberi keutamaan dalam menyelesaikan masalah ini. Dalam pada itu, saya akan terus berhubung dengan penduduk di sana untuk mendapatkan maklumbalas mereka. Saya juga akan menghubungi pihak berkepentingan yang lain seperti agensi yang berkaitan untuk segera mencari penyelesaian kepada masalah ini,“ tambah Haniza menerusi satu kenyataan hari ini.

Haniza turun menjelaskan bahawa beliau tidak pasti apa yang dilakukan oleh ahli parlimen sebelum ini untuk menyelesaikan masalah ini, walaupun beliau difahamkan bahawa ia telah dibawa ke perhatian ahli parlimen tersebut sejak sekian lama.
“Sebagai seorang penggubal undangundang, kita tidak seharusnya mengambil mudah tentang kebajikan dan keselamatan pengundi kita.”